DUNIA

Sri Lanka mansuh larangan ke atas Qatar Charity

01/07/2022 01:19 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 30 Jun (Bernama) -- Sri Lanka memaklumkan kerajaan telah menarik balik larangan ke atas Qatar Charity, sebuah pertubuhan kemanusiaan terkemuka yang telah dikenakan sekatan pada 2019.

Menteri Sumber dan Tenaga Sri Lanka Kanchana Wijesekera telah mengadakan pertemuan dengan pegawai Qatar Charity di Doha pada Rabu dan membincangkan gerak kerja organisasi itu di Sri Lanka.

"Kementerian Pertahanan telah memaklumkan kepada Peguam Negara larangan ke atas organisasi itu telah ditarik balik," kata Wijesekera menerusi ciapannya pada Khamis.

Bergelut untuk mendapatkan bekalan bahan api, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain akibat krisis kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Sri Lanka telah menghubungi negara-negara Islam yang kaya itu untuk mendapatkan bantuan.

Qatar Charity telah membantu 29 juta orang dan melaksanakan projek pembangunan bernilai US$1.2 bilion di seluruh dunia dalam tempoh lima tahun lalu, berdasarkan maklumat di laman sesawangnya.

Wijesekera, turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Buruh Qatar Ali Bin Saeed Bin Smaikh Al Marri untuk meneroka peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Sri Lanka.

Dalam pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Tenaga Qatar, Saad Bin Sherida Al Kaabi sebelum ini, kedua-dua pihak turut membincangkan mengenai pembekalan produk petroleum, gas petroleum cecair (LPG) dan gas asli cecair (LNG).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan