KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kalangan perniagaan amat optimis mengenai prospek bagi tempoh tiga bulan dalam suku kedua 2022, demikian menurut hasil kaji selidik oleh RAM Holdings Bhd dan CTOS Data Systems Sdn Bhd.
Kaji selidik Indeks Keyakinan Perniagaan RAM-CTOS (BCI) yang dijalankan pada 9-27 Mei, 2022, menunjukkan indeks berkenaan secara keseluruhannya meningkat kepada 65 berbanding 55.4 pada suku sebelumnya dan melepasi nilai ambang 50, sekali gus mencerminkan sentimen positif.
Malah, kesemua subindeks lain juga menunjukkan momentum yang positif.
“Namun, bukan kesemuanya lancar apabila lebih 80 peratus daripada 116 responden dalam tinjauan itu mengakui berdepan tekanan kos ketara yang boleh mengekang usaha pemulihan perniagaan mereka,” kata RAM dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut agensi penarafan itu, peningkatan kos bagi tujuan menjalankan perniagaan kekal menjadi kekangan utama dalam suku tersebut sepertimana diakui oleh 83 peratus firma -- meningkat berbanding 72 peratus dalam suku pertama 2022.
Syarikat-syarikat terbabit turut mengetengahkan isu tenaga kerja yang meningkat mendadak kepada 54 peratus dalam suku kedua 2022 daripada 43 peratus sebelum ini.
“Cabaran ini amat ketara bagi kalangan firma pembuatan dalam persekitaran peningkatan harga input semasa, gangguan rantaian bekalan serta tekanan membabitkan tenaga kerja asing yang berlanjutan di Malaysia," katanya.
Dapatan kaji selidik itu turut mendedahkan bahawa kira-kira 60 peratus daripada responden dengan majoritinya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro yang memerlukan lebih banyak pembiayaan dalam tempoh enam bulan untuk menampung pertumbuhan masing-masing.
“Permohonan pembiayaan bagi lebih daripada 40 peratus PKS dan mikro telah ditolak dalam tempoh enam bulan lepas berbanding hanya 10 peratus bagi responden korporat,” katanya.
Menurut RAM, syarikat-syarikat kecil sememangnya amat bergantung kepada dana peribadi bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Kaji selidik itu juga menunjukkan wujudnya sentimen optimis yang kukuh dalam suku ini terhadap pemulihan perniagaan bagi tahun ini.
Bagaimanapun, sebahagian besar syarikat mengalami masalah kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos input akibat lonjakan harga komoditi serta gangguan rantaian bekalan.
“Pelaksanaan gaji minimum yang tinggi serta kenaikan kadar faedah hanya memburukkan lagi cabaran yang dihadapi, terutamanya bagi firma lebih kecil dengan sumber yang terhad.
“Bersandarkan cabaran-cabaran tersebut, kalangan penggubal dasar dan institusi kewangan digesa untuk terus menyokong PKS dan syarikat mikro dengan memberi kemudahan pembiayaan serta inisiatif pasaran lain bagi memastikan usaha pemulihan ekonomi negara bagi tahun ini kekal di landasan yang tepat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial