SUKAN

Pearly-Thinaah lepasi halangan pertama Terbuka Malaysia

29/06/2022 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah melepasi halangan pertama selepas menyingkirkan Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting dari China pada perlawanan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022, hari ini.

Pada perlawanan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, pasangan negara bermula sedikit goyah sebelum menamatkan set pertama dengan 22-20.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah yang mula selesa dengan gelanggang beraksi dengan lebih yakin  menoktahkan kemenangan 21-13, untuk melangkah ke pusingan kedua.

Ketika ditemui pemberita, Pearly mengakui kurang gembira dengan corak permainan mereka terutama dalam menyesuaikan diri dengan gelanggang.

Pearly tekad untuk lebih garang dan bermain dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya esok, berdepan sama ada pilihan ketujuh dari Thailand Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai atau Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China.

Turut melangkah ke pusingan kedua, juara Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2022 Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing selepas mencatatkan kemenangan ke atas pasangan Ireland Kate Frost-Moya Ryan 21-12, 21-5.

Tugas berat bakal menanti gandingan Anna-Mei Xing apabila dijadual berdepan pilihan kedua dari Korea Selatan Lee So Hee-Shin Seung Chan yang menyingkirkan pasangan Perancis Margot Lambert-Anne Tran 21-16, 21-8.

Nasib berbeza buat satu lagi pasangan negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sen apabila disingkirkan oleh pasangan Indonesia Valencia Dwijayanti Gani-Ribka Sugiarto 21-18, 21-17.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan