SUKAN

Athachai ingin sumbang emas untuk Perlis di Sukma

28/06/2022 10:22 AM

KANGAR, 28 Jun (Bernama) -- Atlet Muay Thai Perlis Athachai Saiprawat yakin mampu membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan bermula pada 16-24 Sept ini.

Pemenang pingat gangsa pada temasya Sukan SEA edisi Vietnam itu berkata walaupun ini adalah kali pertama beraksi di Sukma, namun beliau yakin mampu meneruskan momentum kemenangan di Hanoi (Sukan SEA Vietnam) dan telah mula berlatih setiap hari.

"Saya akan menyertai  kategori 67 kilogram pada Sukma kali ini, malah persiapan latihan juga sedang giat dilakukan setiap hari bersama  bimbingan jurulatih Nattapong Chalernying dan bapa saya Kiang Saiprawat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Plak Penghargaan yang berlangsung di Gim Muay Thai Saiprawat, Kampung Teluk Epa di sini, petang semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena Asrul Nizan Abd Jalil. 

Athachai, 20, yang juga merupakan penuntut di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik berkata beliau menjangkakan  akan berdepan beberapa pesaing hebat lain antaranya dari Kedah dan Kuala Lumpur.

Anak kedua dari enam beradik ini juga telah menyertai beberapa  pertandingan sebelum ini antaranya Kejohanan Amatur Muay Thai Kebangsaan 2019 (naib johan) dan Kejohanan Muay Thai Piala Wilayah Persekutuan 2022 (johan) bagi kategori sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan