AM

Dakwah wajar seiring khidmat masyarakat untuk semua - USIA

27/06/2022 03:24 PM

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Aktiviti dakwah Islam di negeri ini wajar berjalan seiring dengan khidmat masyarakat untuk semua bagi memastikan mesej Islam membawa kesejahteraan dapat disampaikan seterusnya memberikan kehidupan lebih baik.

Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata bagi merealisasikan hasrat itu, khidmat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu diberikan secara menyeluruh agar dapat memupuk hubungan baik dan kekeluargaan antara masyarakat berbilang agama serta latar belakang.

“Dakwah ini bukan secara lisan atau ceramah sahaja tetapi dakwah dalam konteks kebajikan, keprihatinan masalah ekonomi, pendidikan keseluruhan melibatkan masyarakat bukan sahaja Islam tetapi bukan Islam yang dapat memastikan kesejahteraan itu dikekalkan.

“Tanggungjawab NGO Islam ini lebih kepada sampaikan Islam itu membawa kesejahteraan, tidak hanya melihat konteks Islam atau bukan Islam sahaja, justeru sesiapa sahaja yang hidup dalam masyarakat ini perlu ada kerjasama, perlu dibela walau apa keadaan sekalipun,” katanya di Kepayan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan kepimpinan baharu USIA yang dipilih dalam Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan Usia ke-35 semalam menyaksikan beliau dipilih sebagai Yang Dipertua USIA baharu, dan Abdul Hakim Gulam Hassan dipilih Timbalan Yang Dipertua USIA.

Dalam perhimpunan sama, Datuk Siti Aminah Aching dipilih Ketua Wanita USIA yang baharu manakala Jamawi Jaafar sebagai Ketua Belia USIA. 

Sapawi berkata USIA yang mempunyai kira-kira 60,000 ahli, lebih terbuka terutama dalam memberi khidmat kepada masyarakat Sabah berbilang latar belakang dengan membawa idea baharu mendepani isu semasa supaya ia kekal relevan membantu rakyat di negeri itu.

“Kita berikan (khidmat) kepada semua kerana di Sabah masyarakatnya hidup harmoni berbilang latar belakang, mungkin dia Muslim bapanya bukan Muslim tetapi Islam menekankan walaupun ada ahli keluarga masuk Islam kita tidak akan dipisahkan, kekeluargaan kekal erat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata dengan dakwah berkesan serta hubungan erat NGO Islam dan masyarakat berbilang latar belakang, semua isu dan permasalahan terutama melibatkan agama Islam dapat dileraikan dengan aman dan harmoni.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan