EKONOMI

Labuan IBFC meterai MoU dengan Shanghai Lin-Gang untuk mudahkan aktiviti pasaran

24/06/2022 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan jawatankuasa Pentadbiran Daerah Perniagaan Baharu Shanghai Lin-Gang hari ini untuk kerjasama dua hala bagi aktiviti pembangunan pasaran antara kedua-dua bidang kuasa tersebut.

Labuan IBFC dalam satu kenyataan berkata perkongsian itu akan memanfaatkan peluang yang disediakan dalam rangka kerja Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani oleh lebih 15 negara Asia-Pasifik pada November 2020.

Pengerusi Eksekutif Labuan IBFC, Datuk Iskandar Mohd Nuli dan Pengarah Jabatan Perdagangan dan Bahagian Kewangan Daerah Pentadbiran Khas Zon Perdagangan Bebas Lin-Gang (Shanghai), China, Zhang Xiaoyang telah menandatangani MoU tersebut.

Kenyataan itu berkata Labuan IBFC sedang berusaha untuk memasuki pasaran China dan zon ekonomi khas itu adalah bidang kuasa yang dikenali oleh entiti China, ia kini menempatkan hampir 300 syarikat berkaitan China.

“Kami yakin produk, perkhidmatan dan struktur Labuan IBFC serta rangka kerja pengawalseliaan progresif dan struktur cukai dipermudahkan amat sesuai untuk memenuhi keperluan pelanggan sasaran kami,” katanya.

Sementara itu, Zhang berkata negara Asean adalah rakan dagang terbesar China dan Kawasan Baharu Lin-Gang telah membentuk asas kerjasama dengan negara anggota Asean.

Beliau berkata perjanjian RCEP membolehkan Kawasan Baharu Lin-Gang untuk memanfaatkan kelebihan yang utama dalam sistem terbuka seperti yang terkandung dalam rangka kerja RCEP, mempercepatkan perkhidmatan kewangan rentas sempadan, perkhidmatan perdagangan antarabangsa dan perdagangan digital.

Kerjasama itu juga akan memenuhi agenda nasional China berkaitan inisiatif ‘One Belt One Road’ (Inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan).

Ia adalah platform penting yang akan membantu perusahaan antarabangsa memasuki pasaran China, atau perusahaan tempatan berasaskan China berkembang ke pasaran global," kata Zhang.

RCEP menyasarkan untuk menggalakkan interaksi ekonomi antara perusahaan negara anggota dan memanfaatkan skala ekonomi serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan