AM

Jabatan Peguam Negara sedia draf pindaan rang undang-undang mansuh hukuman mati

24/06/2022 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Draf pindaan rang undang-undang berkaitan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori akan disediakan Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan berkata Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) telah diminta mengkaji dan meneliti syor-syor yang dikemukakan berhubung perkara itu.

Beliau berkata ini susulan satu perjumpaan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pada Isnin lepas (20 Jun).

“Dalam masa yang sama, sesi libat urus turut akan diadakan bersama pakar-pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai perkara ini sebelum dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini,” katanya.

Menurutnya kerajaan amat berterima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam perkara tersebut dan berharap rang undang-undang itu dapat dilaksana dan dikuatkuasakan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Kerajaan secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan