KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie berkata pembuat pakaian dalam Caely Holdings Bhd telah membuat pengumuman yang tidak benar kepada Bursa Malaysia pada 14 Jun, 2022 berhubung dakwaan pelantikannya sebagai Naib Pengerusi Eksekutif (EVC) syarikat itu.
Dalam kenyataan hari ini, Jovian berkata, beliau tidak melaksanakan sebarang bentuk dan/atau persetujuan yang menunjukkan penerimaan beliau berhubung pelantikan tersebut.
“Saya telah menghadiri mesyuarat dengan wakil Caely Holdings, Datuk Loh Ming Choon pada 13 Jun, 2022 bagi membincangkan mengenai potensi kerjasama dengan syarikat tersebut.
“Wakil tersebut turut menawarkan jawatan dalam lembaga pengarah Caely Holdings sebagai EVC syarikat, bertujuan menyusun semula dan/atau mengembangkan bahagian pakaian syarikat, yang mana, tiada persetujuan lisan yang muktamad telah dicapai,” katanya.
Jovian berkata pengumuman Caely Holdings mengenai pelantikannya adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
“Pengumuman tidak benar yang dibuat Caely Holdings selaku syarikat senaraian awam berhubung pelantikan saya sebagai EVC, telah mencemarkan reputasi korporat, perniagaan dan peribadi saya.
“Saya memandang serius berhubung perkara ini dan saya akan mendapatkan nasihat guaman mengenai perkara ini untuk melaksanakan apa sahaja yang diperlukan bagi melaporkan salah laku tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial