AM

Kadar imunisasi bayi, kanak-kanak di Melaka lebih 95 peratus setiap tahun

16/06/2022 06:02 PM

JASIN, 16 Jun (Bernama) -- Pengambilan vaksin atau imunisasi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di Melaka mencatatkan kadar lebih 95 peratus setiap tahun menerusi Program Imunisasi Kebangsaan bagi perlindungan 12 jenis penyakit majoriti golongan itu.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata ini menunjukkan kesedaran ibu bapa amat baik dalam usaha mendapatkan imunisasi lengkap bagi anak mereka bagi mencegah dan mengurangkan penyakit seperti hepatitis B, difteria, batuk kokol dan campak.

"Walau bagaimanapun didapati segelintir kawasan terutamanya di luar bandar, tahap pengambilan vaksin kanak-kanak ini masih rendah, namun pihak kita akan menggerakkan usaha untuk pastikan setiap kawasan komuniti termasuk di kampung dan taman dapat mencapai sasaran 90 peratus.

"Kita juga berharap ibu bapa dapat menyemak semula jadual pemberian imunisasi sekiranya terlepas pandang disebabkan kesibukan bekerja untuk mengelakkan bayi dan kanak-kanak mereka keciciran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program Sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan 2022 peringkat negeri di Jasin Bestari di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata sempena sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan yang disambut hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah bersetuju untuk membuka semula pemberian vaksin dos pertama program Imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun selama lima hari, bermula hari ini hingga 20 Jun ini.

Beliau berkata selain pemberian vaksin di klinik kesihatan, pihaknya juga menggalakkan mana-mana organisasi atau persatuan ibu bapa yang berminat untuk turun padang mengumpulkan penerima vaksin.

"Sekiranya ia melebihi jumlah 50 penerima pihak kita akan mengaturkan untuk pemberian vaksin ini dalam satu program, begitu juga di sekolah-sekolah yang mengemukakan permohonan, jika jumlah penerima adalah ramai kita akan pergi ke sekolah tersebut," katanya.

Katanya, sehingga 14 Jun lepas seramai 64,425 orang kanak-kanak iaitu 65.61 peratus telah menerima satu dos vaksin di Melaka dan seramai 46,406 orang kanak-kanak atau 47.3 peratus telah lengkap dua dos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan