AM

PERKASAKAN INDUSTRI INPUT KEPADA MAKANAN TERNAKAN

14/06/2022 09:37 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpendapat terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan industri input kepada makanan ternakan, supaya negara mencapai tahap sara diri dan kos input makanan ternakan terurus serta tidak terjejas akibat faktor luaran.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata negara berdepan dengan isu kenaikan harga ayam baru-baru ini, ekoran hampir 100 peratus bahan makanan ternakan diimport dan gangguan bekalan dalam rantaian global, telah menyebabkan harga bahan makanan ternakan meningkat berlipat kali ganda.

“Sebab itu antara penyelesaian ialah mampukah Malaysia mengeluarkan bahan makanan ternakan sendiri, yang tidak bergantung 100 peratus daripada luar negara?

“MPN memberi pandangan mungkin wajar supaya kerajaan meneliti semula dasar import bahan makanan ternakan dan diusahakan, supaya sebahagian bahan makanan ternakan itu dikeluarkan dalam negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Muhyiddin berkata langkah itu memerlukan keputusan dasar umpamanya di peringkat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang mempunyai kawasan tanah yang ditanam kelapa sawit, agar sebahagian daripada kawasan tersebut digunakan untuk tanaman jagung, khususnya di waktu tempoh tanaman semula.

Beliau berkata langkah itu dilihat wajar, supaya Malaysia tidak 100 peratus bergantung atau dikurangkan pengimportan bahan makanan ternakan dari luar negara pada masa hadapan.

Muhyiddin berkata langkah itu juga perlu disegerakan, kerana pengalaman kebergantungan bekalan bahan makanan ternakan dari luar negara itu adalah dasar yang tidak berapa tepat.

Beliau dalam pada itu berkata 500 juta biji kelapa masih diimport, sedangkan negara mempunyai kawasan tanaman kelapa yang lama yang boleh dimajukan semula, kerana keperluan bekalan kelapa itu semakin meningkat setiap hari.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan