EKONOMI

Impak langsung daripada Krisis Ukraine-Rusia masih boleh urus - SC

28/03/2022 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Impak langsung daripada krisis Ukraine-Rusia ke atas pasaran modal Malaysia masih boleh urus memandangkan pendedahan minimum negara kepada kedua-dua pihak terbabit, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusi, Datuk Syed Zaid Albar berkata bagaimanapun, kemungkinan impak yang lebih teruk masih ada berikutan tiada petunjuk jelas bagaimana krisis itu akan berakhir.

“Seperti yang kita saksikan, kesan (daripada krisis Ukraine-Rusia) telah dialami dalam beberapa segmen pasaran di seluruh dunia, khususnya komoditi.

“Kemungkinan berlakunya kesan yang lebih buruk itu masih ada ekoran potensinya menjadi lebih teruk dan kekurangan resolusi jelas yang kita saksikan setakat ini,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai Laporan Tahunan SC 2021 yang dikeluarkan pada Isnin.

Ketika ditanya mengenai unjuran pasaran modal pada 2022, beliau berkata pasaran modal akan berlandaskan jangkaan asas pemulihan ekonomi mampan tahun ini.

“Ini adalah melalui normalisasi perniagaan dan perkhidmatan serta pembukaan semula sempadan (negara), yang dijangka pada Jumaat ini.

“Pemulihan ini akan menyokong pendapatan korporat dan mewujudkan sentimen positif secara amnya bagaimanapun, kita mesti sedar bahawa unjuran ini mesti tertakluk kepada ketidaktentuan yang ketara dan banyak risiko luaran seperti krisis yang sedang berlaku di Ukraine,” katanya.

Syed Zaid berkata pemacu risiko utama lain termasuk gangguan ke atas rantaian bekalan dunia berikutan perkembangan berkaitan COVID-19 dan tahap pengetatan dasar monetari global.

“Justeru, turun naik ketara pasaran dijangka kekal dalam jangka pendek. SC akan terus memantau pasaran bagi sebarang petanda tekanan yang melampau dan mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan