EKONOMI

Permaju, MCB bekerjasama bangunkan perladangan koko pintar pertama di Malaysia

24/03/2022 03:32 PM

SEREMBAN, 24 Mac (Bernama) -- Permaju Industries Bhd (PIB) telah bekerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk membangun dan mengurus ladang seluas 100 hektar, ladang koko pintar tunggal terbesar di negara ini.

Pengarah Eksekutif PIB Tang Boon Koon berkata PIB telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta dalam tempoh tujuh tahun akan datang untuk memulakan bahagian perladangannya serta mematuhi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global untuk operasinya.

Beliau berkata PIB akan bekerjasama dengan Agrocloud Sdn Bhd untuk membangunkan platform sistem sokongan keputusan perladangan (DSS) tersuai yang dinamakan Sistem Pengurusan Ladang Koko (CPMS) untuk ladang koko pintarnya.

"CPMS ialah platform pengurusan holistik yang menyepadukan pelbagai teknologi untuk menyampaikan operator ladang dengan alat yang diperkemas yang terdiri daripada semua aspek nasihat agronomik, tadbir urus dan kebolehkesanan.

“Kami juga syarikat senaraian awam pertama yang terlibat dalam ladang koko pintar huluan,” katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah pembangunan ladang koko pintar di Ladang Permaju Bukit Gangis, Setul di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin dan Duta Austria ke Malaysia Andreas Launer.

Tang berkata pelaksanaan teknologi CPMS digabungkan dengan pemindahan pengetahuan teknikal daripada MCB akan menjadikan ladang ini ladang koko pintar bersepadu sepenuhnya pertama di negara ini dan akan menjadi pelan tindakan untuk pengembangan masa depan PIB.

Beliau menambah bahawa Agrocloud disokong oleh rakan kongsi teknologi eksklusif dari Austria, Pessl Instruments.

Sementara itu, Zuraida berkata industri koko Malaysia menyumbang sejumlah RM1.64 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2020.

Beliau berkata dorongan dalam sektor pertanian dijangka menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

“Projek ini akan meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan terutamanya memenuhi sasaran negara sebagai pengeluar biji koko berperisa unik.

"Penanaman koko ini dalam masa enam ke tujuh tahun sudah boleh hasilkan buah koko, jadi dengan tanaman di 100 hektar ladang koko ini, kita jangkakan dapat mengeluarkan hasil koko sebanyak 150 tan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan eksport komoditi koko pada 2022 meningkat kepada RM14 bilion daripada RM7 bilion yang direkodkan tahun lepas, dipacu oleh potensi pasaran yang besar untuk komoditi itu di peringkat antarabangsa.

—BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan