KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan infrastruktur hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) membolehkan penduduk di kawasan pedalaman memperoleh perkhidmatan Jalur Lebar Talian Tetap (JLTT) di rumah masing-masing dan tidak lagi bergantung kepada internet mudah alih sedia ada.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata penyediaan kaedah itu melibatkan 4,323 kawasan berhampiran sekolah di pinggir bandar dan pedalaman juga memberi impak terhadap pembelajaran di sekolah yang akan dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar.
“Ia juga akan membolehkan sekolah dan lain-lain premis berhampiran dapat menggunakan kemudahan JLTT yang seterusnya dapat meningkatkan kualiti capaian,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang ingin tahu bagaimana kerajaan memastikan syarikat telekomunikasi memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman khususnya di kawasan berhampiran dengan sekolah.
Zahidi berkata secara keseluruhannya, pelaksanaan infrastruktur itu dilaksanakan secara berperingkat dalam dua fasa sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan jumlah peruntukan RM4.6 bilion.
“Bagi pelaksanaan fasa satu inisiatif projek PoP, kerajaan memperuntukkan RM700 juta seperti yang dinyatakan menerusi pembentangan Bajet 2022. Perbelanjaan ini merangkumi 630 kawasan berhampiran sekolah luar bandar atau pedalaman dan 47 kawasan perindustrian di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial