EKONOMI

CHIN HIN MUNCUL PEMEGANG SAHAM TERBESAR AJIYA DENGAN 24.68 PERATUS KEPENTINGAN EKUITI

18/03/2022 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Chin Hin Group Bhd muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar pengeluar bahan binaan Ajiya Bhd, menjadikan syarikat itu sebagai syarikat senaraian awam keempat dalam kumpulannya.

Chin Hin berkata ia mengambilalih 24.6 peratus kepentingan ekuiti dalam Ajiya dengan nilai RM104.4 juta, dan sinergi pengambilalihan ini akan membantu kumpulan mengembangkan rangkaian produknya daripada bahan binaan kepada produk kaca keselamatan, bumbung logam, pintu logam dan bingkai tingkap yang bernilai tambah tinggi.

Konglomerat hartanah dan bahan binaan itu hari ini memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan pemegang saham utama Ajiya dan Avia Kapital Sdn Bhd untuk memperoleh 72,000,000 saham biasa atau 24.68 peratus kepentingan dalam Ajiya.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku kedua 2022.

“Selepas selesai pengambilalihan, Chin Hin akan dapat mengakaunkan ekuiti keputusan kewangan Ajiya, dan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin Chiau Haw Choon berkata pengambilalihan itu sejajar dengan objektif kumpulan untuk memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat yang berpotensi untuk pertumbuhan masa depan.

“Kumpulan akan dapat memanfaatkan nilai perolehan kontrak Ajiya dan rangkaian rantaian bekalan serta pelanggan, yang dibangunkan selama tiga dekad kewujudannya.

“Selain itu, Kumpulan Ajiya juga mempunyai kehadiran di luar negara di seperti Thailand. Chin Hin mungkin boleh memanfaatkan rangkaian luar negara untuk pengembangan masa depan di luar negara,” tambahnya.

Ajiya mempunyai lembaran imbangan yang kukuh, disokong oleh jumlah aset sebanyak RM485.5 juta berbanding jumlah liabiliti sebanyak RM67.3 juta. Ia juga merupakan syarikat tunai bersih dan mencatatkan simpanan tunai sebanyak RM146.7 juta pada akhir November 2021. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Ajiya Datuk Chan Wah Kiang berkata syarikat positif dengan perjanjian dengan Chin Hin ini kerana akan mendapat manfaat yang besar daripada pendedahan Chin Hin dalam perniagaan pembangunan hartanah.

“Di samping itu, memandangkan penglibatan Chin Hin dalam segmen bahan binaan, kedua-dua pihak akan dapat bekerjasama dalam memperkemas kos dan mengoptimumkan aliran penghantaran pesanan,” katanya.

Selepas selesai penjualan saham, Chan akan dilantik semula sebagai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ajiya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan