KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Negara-negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) akan melaksanakan latihan bersama di sekitar Semenanjung Malaysia dan Singapura mulai esok hingga 1 April ini.
Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan hari ini memaklumkan Eksesais Bersama Shield 2022 itu merupakan eksesais gabungan tahunan antara angkatan tentera negara-negara FPDA iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.
“Eksesais berkenaan melibatkan sebahagian kawasan perairan, darat, udara Semenanjung Malaysia dan Singapura termasuk kawasan perairan serta udara Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di Laut China Selatan.
“Sepanjang eksesais itu berlangsung, akan terdapat aktiviti penerbangan yang aktif di sekitar ruang udara Semenanjung Malaysia serta Singapura,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang tempoh latihan itu terdapat juga pesawat tentera yang akan terbang rendah dari Malaysia dan Singapura melalui sebahagian ruang udara Malaysia terutama di negeri Johor untuk ke kawasan latihan di Laut China Selatan.
Oleh itu, penduduk serta masyarakat sekitar kawasan latihan dinasihat agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera terbang rendah sepanjang eksesais berlangsung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial