EKONOMI

Niaga hadapan MSM ditutup rendah

17/03/2022 10:25 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives turun daripada kenaikan semalam untuk ditutup rendah hari ini, didorong oleh kebimbangan baharu terhadap pasaran komoditi global.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kepada Bernama bahawa harga niaga hadapan MSM bergerak tidak menentu antara turun dan naik namun berakhir rendah berikutan Indonesia memutuskan untuk menghapuskan keperluan domestik tetapi meningkatkan levi MSM keseluruhan sebagai cara untuk memberi subsidi kepada harga minyak masak tempatan.

“Peniaga bertindak balas terhadap pengumuman sedemikian pada siang hari. Kami mengesan paras sokongan pada RM5,800 setan metrik dan paras rintangan pada RM6,300 setan metrik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga niaga hadapan minyak mentah meningkat pada awal dagangan Khamis, pulih sebahagian daripada penurunan hari sebelumnya, selepas Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata penurunan permintaan minyak disebabkan harga yang tinggi tidak akan mengimbangi bekalan minyak Rusia yang disekat.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2022 jatuh RM339 kepada RM6,560 setan metrik, manakala Mei 2022 jatuh RM164 kepada RM6,173 setan metrik dan Jun 2022 susut RM127 kepada RM5,940 setan metrik.

Kontrak Julai 2022 merosot RM87 kepada RM5,828 setan metrik, Ogos 2022 jatuh RM54 kepada RM5,746 setan metrik dan September 2022 turun RM27 kepada RM5,690 setan metrik.

Jumlah dagangan meningkat kepada 82,286 lot daripada 57,876 lot ketika ditutup pada Rabu, manakala kepentingan terbuka naik kepada 273,310 kontrak daripada 246,846 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan jatuh RM250 kepada RM6,850 setan metrik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan