AM

Agong, Pemaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga S.Sivabalan

13/03/2022 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain hoki kebangsaan S.Sivabalan yang meninggal dunia semalam. 

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara menerusi catatan di akaun Facebook rasmi hari ini berkata Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini. 

“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut catatan itu.

Bernama sebelum ini melaporkan Sivabalan meninggal dunia ketika menyertai satu pertandingan hoki di Bandar Siber, Simpang Pulai dekat Ipoh semalam.

Mendiang yang berusia 59 tahun dilaporkan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa berhenti rehat pada pukul 3.30 petang dan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Sivabalan pernah mewakili skuad hoki kebangsaan pada era 80-an dan turut bermain untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang pada era 90-an dikenali sebagai Kelab Kilat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan