AM

SPM 2021 diteruskan ikut jadual, KPM pastikan SOP dipatuhi

12/02/2022 09:09 PM

JOHOR BAHRU, 12 Feb  -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan seperti yang dijadualkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata meskipun terdapat peningkatan ketara kes baharu COVID-19, peratusan pesakit membabitkan kategori empat atau lima adalah kecil.

"Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua SOP yang ditetapkan terus dipatuhi.

"Komitmen ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lepas berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama dengan warga pendidik serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan juga sudah berbeza dengan lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 tahun ini lengkap divaksin berbanding mereka yang menduduki SPM tahun lepas.

SPM 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir pada 29 Mac.

Menyentuh jangkitan COVID-19, Mohd Radzi berkata memang terdapat kes melibatkan guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusannya terlalu kecil.

"Kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya melibatkan 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah tidak berasrama iaitu lebih 10,000 buah di seluruh negara.

"Sementara itu, kita akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak mereka yang berumur lingkungan 5 hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan