AM

Aspirasi Koperasi Malaysia wujudkan kerjasama antara SKM, IKMa dan ANGKASA

12/02/2022 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb -- Kementerian Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini melancarkan dokumen Aspirasi Koperasi Malaysia bagi membangunkan gerakan koperasi yang lebih dinamik serta berdaya saing.

Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata dokumen itu merupakan persefahaman antara penggerak utama koperasi negara iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) untuk menggariskan peranan serta tanggungjawab badan terbabit dengan lebih jelas bagi mengelakkan pertindihan fungsi.

"Untuk merealisasikan matlamat Keluarga Koperasi, SKM, IKMa dan ANGKASA perlu bekerjasama dalam mencapai identiti serta memacu ke arah matlamat yang sama," katanya pada majlis Prapelancaran Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di sini.

Beliau berkata MEDAC akan menyemak semula sistem perundangan serta struktur tadbir urus sedia ada agar ia seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa. 

Antara perkara yang dikaji ialah penetapan jawatan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif SKM tidak disandang oleh individu sama untuk memastikan wujud semak dan imbang selain mengurangkan jumlah ahli yang wajib didaftarkan bagi menubuhkan koperasi daripada 50 kepada 20 orang. 

Noh berkata menyedari kepentingan sektor koperasi dalam membantu membasmi kemiskinan dan meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat, kerajaan bersetuju menyambut Hari Koperasi Negara setiap tahun pada Sabtu minggu ketiga bulan Julai dan Bulan Koperasi Kebangsaan pada bulan Julai setiap tahun bermula 2022. 

Beliau berkata demi memastikan sektor koperasi terus berdaya saing dan dianggotai oleh individu yang kompeten, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) bakal menerima pengambilan pertamanya pada Julai 2022 dengan kemasukan 1,000 pelajar.

"Dengan penubuhan UKKM, sekali lagi kita melakar sebuah kejayaan dalam menyambut 100 tahun koperasi pada tahun ini," katanya.

Sejarah koperasi di Malaysia bermula secara rasmi apabila penubuhannya diperkenal pada 1922 melalui pelaksanaan Enakmen Koperasi untuk membantu menyelesaikan masalah petani di luar bandar yang ditindas oleh orang tengah dan masalah keberhutangan dalam kalangan penjawat awam kawasan bandar.

Mengungkap kejayaan gerakan koperasi, Noh berkata ia kini merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia selepas sektor kerajaan dan swasta.

"Kini sejumlah 14,657 koperasi telah ditubuhkan dengan jumlah keanggotaan 6.5 juta selain sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah sebanyak RM15.8 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM150.5 bilion serta perolehan mencecah RM41.5 bilion," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan