SHAH ALAM, 8 Feb -- Isu pengurusan banjir serta penyelesaian menyeluruh masalah banjir dan sumber air, adalah antara agenda utama pada Pemukiman Exco Kerajaan Selangor pada 23 hingga 25 Feb depan, di Langkawi, Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata perbincangan akan melibatkan tiga komponen utama aspek pengairan iaitu kolam, sistem saliran dan kaedah pelepasan air.
Katanya, kesemua komponen itu perlu diuruskan secara bersepadu dan tidak boleh dilihat secara berasingan, selain semua cadangan berkaitan akan diteliti dari setiap sudut.
“(Pengurusan) banjir ini ada tiga komponen iaitu pertama adalah kolam. Kolam besar iaitu empangan dan yang kecil dipanggil kolam takungan, tasik dan sebagainya. Komponen kedua pula ialah sistem saliran iaitu sungai, parit, longkang, terowong dan ban.
“Ketiga ialah titik pelepasan air iaitu tempat mana nak keluarkan air. Ada yang ke laut, tasik dan sebagainya. Jadi ketiga-tiga komponen akan diteliti dan ketiga-tiga mesti serasi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada majlis Agihan Bantuan Pascabanjir 2021 kepada warga kerja Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Izham berkata pihaknya turut berhubung dengan pakar dalam bidang berkaitan seperti terowong bawah tanah dan teknologi baharu menguruskan banjir, di samping melibatkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Mineral dan Geosains serta Landasan Lumayan Sdn Bhd yang menguruskan Sungai Klang.
“Kita mahu input dari semua pihak supaya tidak ketinggalan apa-apa dalam mencari penyelesaian menyeluruh isu pengurusan sumber air dan banjir di Selangor," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial