PETALING JAYA, 7 Feb -- Skuad bola sepak negara terpaksa melupakan hasrat mendapatkan khidmat pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal dalam Kejohanan Bawah 23 tahun (B-23) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Kemboja, bulan ini.
Ketua Jurulatih skuad B-23 negara Brad Maloney berkata Wan Kuzri terlepas peluang menyertai kejohanan di Kemboja itu selepas pemain itu masih tidak dapat menyelesaikan masalah peribadinya di Amerika Syarikat.
“Ya saya berhubung dengannya pagi tadi dan beliau masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalahnya…jadi nampaknya kami tidak dapat membawa beliau bersama kali ini.
"Ini adalah sesuatu yang kami perlu tangani. Alangkah baiknya jika Wan Kuzri bersama kami. Dia sememangnya seorang pemain yang bagus tetapi kami perlu melangkah ke hadapan dan memberikan peluang ini kepada pemain lain dalam kejohanan ini,” kata beliau kepada wartawan ketika ditemui di kem latihan berpusat di sini hari ini.
Ditanya mengapa penyerang sensasi Luqman Hakim Shamsudin tidak tersenarai kali ini, Maloney berkata pemain yang berpangkalan di Belgium itu sedang memberikan komitmen penuh kepada kelabnya, K.V. Kortrijk pada masa ini.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 50 tahun itu berkata beliau sering berhubung dengan Wan Kuzri dan Luqman untuk berkongsi rancangan semasanya dan perkembanagn terkini skuad itu biarpun tanpa kehadiran mereka di Kemboja.
“Mereka selalu dalam perancangan saya,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua pemain akan beraksi pada Sukan SEA Mei ini dan Piala Asia B-23 2022 dalam bulan Jun dan Sukan Asia September tahun ini.
Pada masa sama, Maloney berkata senarai akhir skuad negara terdiri daripada 28 pemain akan diumumkan Jumaat ini.
Sementara itu, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, yang merupakan antara tonggak utama membantu negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia tahun lepas, menyifatkan ketiadaan Wan Kuzri tidak akan menjejaskan persiapan pasukan ke Kemboja nanti.
Pemain Terengganu FC II itu berkata ini kerana rata-rata pemain lain termasuk mereka yang kali pertama dipanggil menyertai kem latihan pusat itu menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha merebut tempat ke Kemboja.
“Sekarang ini persediaan pasukan dalam 80 peratus, semua tunjuk perkembangan positif sejak hari pertama latihan pada 27 Jan lepas,” katanya.
Dalam pada itu, penjaga gol Skuad Projek FAM-MSN, Aizat Aiman Mazlan yang kali pertama dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan mengakui masih bergelut untuk memahami aspek taktikal Maloney namun akan berusaha untuk menonjolkan diri untuk disenaraikan jurulatih itu ke Kemboja.
Skuad kebangsaan B-23 itu, yang diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Feb ini.
Anak buah Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 18 Feb di venue sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Feb.
Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Feb.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial