EKONOMI

Eksport makanan tani Peru ke Malaysia meningkat 51.7 peratus pada Jan-Okt 2021

07/02/2022 11:43 AM

KUALA LUMPUR, 7 Feb  -- Eksport produk makanan tani Peru ke Malaysia meningkat 51.7 peratus dari tahun ke tahun dalam tempoh Januari hingga Oktober 2021.

Menurut kenyataan daripada Fruitnet Media International, Malaysia merupakan pasaran eksport kedua terbesar di Asia Tenggara untuk produk makanan tani Peru pada 2020, bernilai US$6.4 juta (US$1 = RM4.18).

Produk makanan tani utama yang dieksport ke negara ini adalah biji koko mentah, naik 58.2 peratus dalam tempoh yang sama pada 2020.

Fruitnet adalah penganjur acara terkemuka di dunia untuk perniagaan buah-buahan dan sayur-sayuran antarabangsa.

Di peringkat serantau, perdagangan antara Peru dan Asia dalam sektor buah-buahan serta sayuran juga mencatatkan kemajuan positif pada tahun lepas, katanya.

Peru telah berjaya meletakkan dirinya sebagai pengeksport global terkemuka untuk beri biru selepas mengeksport 162,459 tan metrik dalam kempen terakhirnya, dengan eksport ke Malaysia menokok sebanyak 409.9 peratus pada tahun lepas berbanding 2020.

Eksport kurma turut bertambah dengan kadar pertumbuhan sebanyak 518 peratus dalam tempoh itu. Buah delima, tepung kentang manis, kacang dan buah ara segar adalah eksport utama lain ke Malaysia.

Fruitnet berkata keperluan buah Malaysia secara per kapita adalah kira-kira 68.5 kg berdasarkan 32.4 juta penduduk, yang mana 23.9 peratus diimport. Bagi sayur-sayuran, 77 peratus diimport. Oleh itu, berdasarkan datanya, Malaysia adalah rakan kongsi komersial yang penting untuk negara Amerika Selatan itu.

Walaupun jenama Peru "masih kecil" di bahagian dunia ini, pasaran Malaysia menjadi keutamaan bagi eksportnya. Ia menambah bahawa jenama "Super Foods Peru" juga mewakili makanan yang sangat berkualiti tinggi yang didatangkan dari lautan, hutan dan gunung.

Pada 2020, destinasi utama bagi produk makanan tani Peru di Asia adalah China (US$182 juta), Hong Kong (US$158 juta), Korea Selatan (US$116 juta) dan Jepun (US$89 juta).

Di Asia Tenggara, destinasi teratas adalah Indonesia (US$11.5 juta), Malaysia (US$6.4 juta), Thailand (US$8 juta), Vietnam (US$4 juta) dan Singapura (US$1.4 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan