IPOH, 5 Feb -- Kerajaan Negeri Perak tidak akan memberi kelulusan kepada projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di kawasan Hutan Simpan Kenderong Mukim Kerunai, Gerik sekiranya mendatangkan kesan buruk.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya akan membuat semakan dan mendapatkan laporan penuh daripada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) terlebih dahulu.
"Kita menghormati keprihatinan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan kerajaan negeri akan mengambil maklum semua itu, sekiranya ia adalah kawasan sensitif alam sekitar, sudah tentu aktiviti sedemikian tidak boleh dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bersama Sahabat AIM di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.
Semalam, SAM dilapor membantah cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di kawasan seluas 245 hektar yang dinyahwartakan di hutan simpan itu.
Presidennya R. Meenakshi menyifatkan pembersihan hutan yang disebut dalam Laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebagai berpotensi mencemarkan sumber air tempatan dan tapak yang dicadangkan adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap Satu iaitu sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan.
Saarani berkata keputusan akhir berkaitan projek itu hanya dibuat selepas laporan EIA dikeluarkan dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial