IPOH, 4 Feb -- Setelah menjuarai Kejohanan Tenis Remaja Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) di Singapura bulan lepas, pemain remaja negara Mitsuki Leong Wei Kang menyasarkan untuk menyertai Grand Slam Terbuka Perancis berlangsung Mei depan.
Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTA) Fazwil Abdul Wahid berkata ranking pemain berusia 18 tahun itu melonjak daripada 213 kepada 165 dunia bagi kategori remaja lelaki susulan kemenangannya dalam dua kategori perseorangan di kejohanan pada 17 hingga 29 Jan lepas.
“Ini adalah kejayaan terbesar Mitsuki yang juga pemain termuda Malaysia dan pemain remaja yang memenangi kejohanan ITF terbanyak sehingga kini iaitu sebanyak enam kejuaraan sejak tahun lepas di Thailand.
"Dengan ranking ketika ini, ia melayakkan Mitsuki ke pusingan kelayakan kategori remaja kejohanan Grand Slam di Perancis dan kita sedaya upaya untuk membawanya ke kejohanan itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak di sini hari ini.
Sidang media berkenaan turut dihadiri bapa Mitsuki yang juga jurulatih peribadinya Jeff Leong.
Beliau berkata selain Mitsuki, adiknya Shihomi Leong Li Xuan, 15, turut unggul pada kejohanan di Singapura itu apabila membawa meraih dua gelaran juara perseorangan remaja wanita.
Menurut Fazwil, kemenangan Shihomi itu turut melonjakkan ranking remaja wanita daripada 1,157 kepada 419.
Katanya, semua pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan negeri dapat memberikan bantuan bagi membolehkan kedua-dua pemain remaja berpotensi itu terus meningkatkan prestasi bagi mengharumkan nama negara.
“Kita harap pihak berkenaan pandang-pandanglah kerana pemain ini sangat berbakat dan berpotensi besar...mereka juga memerlukan dana bagi menyertai kejohanan antarabangsa selain berharap agar kemudahan latihan sukan seperti gelanggang tenis sedia ada dapat digunakan,” katanya.
Sementara itu, Mitsuki berkata suasana dan cuaca berbeza antara cabaran dihadapinya dalam kejohanan di Singapura selain dari sudut gelanggang dan bola tenis yang digunakan.
Bagaimanapun, anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu beliau tidak gentar dan berjaya menewaskan lawannya yang masing-masing dari Singapura dan India pada perlawanan akhir kejohanan terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial