AM

JPJ Johor keluar lebih 90,000 saman pelbagai kesalahan sepanjang 2021

31/01/2022 09:01 PM

JOHOR BAHRU, 31 Jan -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan sebanyak 91,945 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas, yang menyaksikan penurunan 0.9 peratus berbanding 100,944 saman pada 2020.

Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 48,801 saman dikeluarkan atas kesalahan berkaitan lesen memandu, 5,871 berkaitan cukai jalan, 20,618 bagi kesalahan teknikal manakala bakinya membabitkan kesalahan lain.

"Pandemik COVID-19 merupakan antara punca (penurunan jumlah saman yang dikeluarkan),” katanya kepada pemberita selepas operasi khas sempena Tahun Baharu Cina berhampiran tol Skudai hari ini.

Mengulas operasi khas itu, beliau berkata sejumlah 170 anggota penguat kuasa JPJ terlibat di pelbagai lokasi di 10 daerah di Johor yang bermula 25 Jan lepas hingga hari ini dan akan diteruskan dari 3 hingga 8 Feb depan, yang membabitkan pelbagai agensi.

Azmil berkata dalam operasi khas motosikal di Plaza Tol Skudai yang bermula semalam hingga hari ini, sebanyak 1,281 kenderaan diperiksa dan 148 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya operasi itu juga menyaksikan enam lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 25 hingga 37 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis metamfetamina serta ganja.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan