BANGI, 29 Jan -- Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) menjalin kerjasama dengan Persatuan Alumni Universiti-Universiti Texas (PAUT) bagi menjayakan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) negara ke arah karbon sifar pada 2050.
Kerjasama itu juga akan menyokong objektif Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) mengenai kelestarian di dalam lima SDG daripada keseluruhan 17 agenda.
Lima SDG yang diberi fokus ialah pertanian mampan, tenaga yang boleh diperbaharui, penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab, tindakan segera tangani perubahan iklim dan kesannya serta memelihara, memulihara dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem darat.
Ketua Pegawai Eksekutif MGTC Shamsul Bahar Mohd Nor berkata hasrat yang digariskan menjurus kepada menggalakkan gaya hidup lestari bagi mengekalkan kelestarian persekitaran supaya generasi masa hadapan dapat menikmati persekitaran yang lebih terjamin.
"MGTC mengalukan kesungguhan PAUT dalam berganding bahu bagi menjayakan agenda Matlamat Pembangunan Lestari Negara ke arah pelepasan sifar bersih pada 2050," katanya dalam majlis menandatangani memorandum kerjasama antara MGTC dan PAUT di sini hari ini.
Beliau berkata MGTC menjadi rakan kolaborasi PAUT yang terbaharu dalam mendokong tanggungjawab ke arah masa depan lestari selari dengan SDG.
MGTC adalah agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam memacu negara ke arah pertumbuhan hijau, mitigasi perubahan iklim dan membudaya gaya hidup hijau.
MGTC melaksanakan inisiatif dan program dalam mencapai impak jangka panjang kepada Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dengan matlamat pengurangan karbon sebanyak 45 peratus pada 2030.
Selain itu ia juga dijangka meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada teknologi hijau sebanyak RM100 bilion dan penjanaan 230,000 peluang pekerjaan hijau.
Dalam pada itu, PAUT menganjurkan majlis makan malam ke-10 bertema "Menerajui Masa Depan Lestari".
PAUT ialah badan bukan kerajaan yang didaftarkan pada 2017 dianggotai oleh alumni daripada 16 universiti dari Texas, Amerika Syarikat.
Aktiviti PAUT yang berkisar sumbangan kepada masyarakat dan alam sejagat telah dijalankan sejak penubuhannya secara tidak rasmi iaitu pada 1998.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial