RAWANG, 14 Jan -- Jenazah Penerbit Berita Radio Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Allahyarham Farrah Idzana Hashim, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, di sini, kira-kira pukul 6.15 petang tadi.
Allahyarham yang memulakan perkhidmatan sebagai wartawan penyiaran di Bernama Radio pada 2012 menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10.40 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN) akibat radang jantung.
Jenazah yang tiba dari IJN sebelum itu disembahyangkan ahli keluarga, sahabat, rakan media dan penduduk sekitar selepas solat asar di Surau As-Sadiqqin, di sini.
Menurut abang Allahyarham, Fahmi Affendi Hashim, 41, adiknya itu mengalami demam pada Selasa dan dibawa ke klinik untuk rawatan sebelum ke KPJ Rawang.
"Pemeriksaan di KPJ Rawang mendapati ada jangkitan pada jantung Farrah dan kami membuat keputusan untuk membawanya ke IJN kira-kira 6.30 petang semalam. Menurut IJN, Allahyarham meninggal dunia akibat radang jantung," katanya.
Beliau berkata Allahyarham Farrah Idzana yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu disifatkan sebagai seorang yang ramah dan mudah mesra serta paling rapat dengan anak-anaknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial