KUALA LUMPUR, 12 Jan -- Para pemain Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan masih belum mencapai tahap kecergasan memuaskan bagi menghadapi kempen Piala Asia 2022 di Muscat, Oman, bermula 21 hingga 28 Jan ini.
Ketua jurulatihnya Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata kekurangan perlawanan kompetitif skuad ‘Malaysian Tigress’ itu merupakan antara punca situasi berkenaan melanda kem negara ketika ini.
“Ramai pemain dah lama tak main, ada yang mula rasa ‘sore muscle’ (sakit otot) dan saya risau sekiranya ada dalam kalangan mereka mendapat kecederaan menjelang saingan di Oman selepas dua pemain cedera ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan anak buahnya mengalami satu lagi kekalahan besar di tangan MBPJ Boys 1-11, dalam aksi persahabatan di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Semalam, pasukan negara dibelasah 2-6 oleh pasukan sama di venue berkenaan.
Walaupun tewas besar dalam kedua-dua aksi itu, Mohd Nasihin berkata skuadnya mendapat pengalaman berharga ketika berdepan sebuah pasukan yang kuat.
“Memang kita minta (menentang) pasukan lelaki yang kuat, tak kisah ‘scoreline’ namun yang penting persediaan kita untuk menentang pasukan yang mempunyai tahap permainan setaraf skuad antarabangsa lain.
“Kita boleh bayangkan pasukan yang akan kami tentang di Oman nanti memiliki corak permainan pantas seperti MBPJ Boys…(namun) hari ini persembahan pemain nampak lebih kemas walaupun bolos dengan jumlah jaringan lebih besar dan apa yang penting pemain faham taktikal bila berdepan pasukan kuat di Oman nanti,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Malaysia bakal menguji skuad Korea Selatan dalam satu lagi aksi persahabatan pada 19 Jan ini di Oman, dua hari selepas berangkat ke negara itu.
Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura pernah merangkul gangsa dalam edisi sulung pada 1985 di Seoul, Korea Selatan, yang juga pencapaian terbaik mereka setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial