AM

WAN ROSDY SIFATKAN SETIAUSAHA AKHBARNYA INSAN KOMITED DAN AMANAH

11/01/2022 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan Allahyarham Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali, merupakan seorang insan yang komited dan amanah dalam menjalankan tugasnya sebagai setiausaha akhbar.

Wan Rosdy berkata Abdul Wahab merupakan figura penting yang membantu beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

“Jasa dan bakti beliau akan dikenang buat selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, sambil mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Abdul Wahab, 61, meninggal dunia pada 5.42 petang tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, dipercayai akibat kanser darah.

Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Feb 1961, difahamkan merupakan setiausaha akhbar paling lama pernah berkhidmat sejak tahun 1995, dan berkerja di bawah tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob, Datuk Seri Adnan Yaakob dan terkini Wan Rosdy.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Berita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1 Sept 1984 di ibu pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke pejabat Biro Pahang sebagai pewarta negeri pada 1 Jan 1989 dan kemudiannya kembali ke ibu pejabat pada 1 Okt 1994 sebagai Penolong Editor Meja Berita.

Beliau mula dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang secara pinjaman pada 1 Julai 1995 hingga 31 Mei 2006 sebelum bersara pilihan daripada Bernama pada 1 Jun 2006 dan kemudiannya terus berkhidmat dengan Khalil sehingga tampuk kepimpinan negeri diambil alih oleh Adnan pada tahun 1999, sebelum bersama Wan Rosdy sejak 2018.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan