Oleh Farhana Poniman
GEORGE TOWN, 9 Jan -- Pelaburan pembuatan Pulau Pinang yang diluluskan untuk 2021 dijangka melebihi paras tertinggi sepanjang masa negeri ini sebanyak RM17 bilion yang dicatatkan pada 2019, walaupun diselubungi impak daripada pandemik berikutan pelabur terus yakin dengan keupayaan negeri ini dalam menghadapi krisis tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian berkata pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk 2021 pada mulanya kurang berprestasi berbanding 2020, mencatatkan aliran masuk pelaburan sebanyak RM2.9 bilion untuk tempoh Januari-September 2021.
Bagaimanapun, pengembangan Intel sebanyak RM30 bilion ternyata menambah tarikan kepada negeri ini pada tahun lepas.
Beliau berkata Pulau Pinang mendapat projek penting daripada Intel, yang diumumkan pada 17 Disember lepas, melibatkan kemudahan pengeluaran baharu di Zon Perdagangan Bebas Fasa 3, Taman Perindustrian Bayan Lepas, yang akan memacu negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Menurut Majlis Komitmen Pelaburan NCER 2021, Intel menyumbang sebanyak 10 peratus daripada jumlah eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia setiap tahun. Pada 2020, E&E mewakili 39 peratus daripada jumlah eksport negara sebanyak RM984 bilion,” katanya kepada Bernama.
Sebagai antara lapan pelabur perintis yang mewujudkan pembangunan ekosistem industri sampingan yang kukuh di Pulau Pinang, kehadiran Intel selama 50 tahun di Pulau Pinang telah memberi impak yang luas kepada ekonomi tempatan dari segi peluang rantaian bekalan di peringkat tempatan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja teknikal tempatan serta mempunyai limpahan ekonomi dan kesan pengganda yang ketara, katanya.
MNC Perkukuh Kedudukan di Pulau Pinang
Beliau berkata jumlah syarikat multinasional (MNC) yang memeterai hubungan kukuh dengan ekonomi tempatan turut menggalakkan dan terus memperkukuh kedudukan mereka di sini, mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur dan bukti kepada ekosistem perindustrian negeri yang teguh, infrastruktur yang dibangunkan dengan baik dan tenaga kerja mahir.
“Syarikat ini juga telah mempelbagaikan aktiviti operasi mereka di sini, menuju ke arah penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk dan pembangunan (D&D) serta fungsi nilai tambah lain yang tinggi,” katanya.
Katanya dengan pengalaman industri selama hampir setengah abad, Pulau Pinang berjaya menerapkan pengalaman perindustrian yang kukuh dan kecemerlangan pembuatan untuk syarikat tempatan meraih tarikan dalam rantaian bekalan global.
Loo berkata selain daripada fungsi berkaitan pembuatan, negeri ini menyaksikan syarikat E&E tempatan baharu yang berkembang pesat mencipta nama sebagai penyedia penyelesaian huluan dalam rantaian nilai E&E.
“Syarikat ini menyediakan perkhidmatan yang penting dalam peringkat konsep dan reka bentuk produk. Contohnya ialah Oppstar, Experior, Skyechip, Infinecs Systems,” katanya.
2022 Fasa Pengukuhan untuk Pulau Pinang
Mengenai masa depan, InvestPenang menjangka Pulau Pinang akan melalui fasa pengukuhan dalam pelaburan pembuatan sejajar dengan trend pelaburan negeri ini apabila pengukuhan akan berlaku selepas beberapa tahun peningkatan pelaburan sebelum trend pertumbuhan berterusan.
“Malah, kami menjangka 2021 akan menjadi tahun pengukuhan selepas prestasi yang cemerlang pada 2019-2020. Pengumuman pelaburan baru-baru ini telah mendorong jangkaan kami kepada 2022.
“Penting bagi Pulau Pinang untuk memasuki peringkat pengukuhan berikutan pasaran buruh dan infrastruktur memerlukan masa untuk bertindak balas terhadap lonjakan dalam pelaburan dan operasi baharu ini.
“Kami berharap beberapa pelaburan strategik dapat dimuktamadkan pada 2022. Bagaimanapun, hampir sukar untuk menyaksikan satu lagi projek berskala besar yang setara atau hampir dengan nilai pelaburan Intel yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial