AM

KERAJAAN JOHOR RANGKA PELAN PENGURUSAN BANJIR

08/01/2022 05:59 PM

MUAR, 8 Jan  -- Kerajaan Johor sedang merangka pelan jangka panjang pengurusan banjir di negeri itu bagi mengurangkan risiko banjir teruk, kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berkata beberapa kawasan berisiko kejadian banjir telah dikenal pasti antaranya di Pagoh, Sungai Panchor, Kampung Jawa dan Lenga, di sini.

"Kawasan ini selalu dinaiki air dan lokasi tumpuan banjir, jadi dengan pelan ini kita dapat pastikan sistem saliran bagi mengatasi banjir berada dalam keadaan baik dan sentiasa diselenggara," katanya kepada selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Merujuk kepada situasi banjir di Johor, beliau berkata beberapa PPS di Segamat dan Tangkak sudah mula ditutup hari ini susulan cuaca yang baik namun daerah Muar masih terjejas dengan banjir akibat limpahan air dari sebelah utara Johor.

Hasni seterusnya menasihatkan mangsa yang ditempatkan di PPS supaya tidak bimbang dengan keadaan rumah yang dinaiki air kerana kerajaan sudah merancang pelbagai inisiatif pasca banjir.

"Kita tidak akan biarkan mereka begitu sahaja, banyak pihak akan datang untuk menilai kerosakan, beri bantuan peralatan serta keperluan asas rumah apabila banjir selesai nanti. Bantuan pasca banjir ini kita akan laksanakan secara berperingkat seperti bantuan membaiki rumah, kenderaan terkesan banjir, bantuan persekolahan dan pelbagai lagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan