AM

MMA mohon kerajaan bantu klinik swasta terjejas banjir

08/01/2022 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sedang mencari jalan membantu klinik pengamal perubatan am swasta (GP) yang musnah akibat banjir baru-baru ini dengan majoritinya terletak di Klang dan Taman Sri Muda, Selangor.

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata lebih 40 klinik terjejas, yang kesemuanya terletak di tingkat bawah lot kedai, tidak dapat beroperasi pada masa ini selepas air banjir mencecah paras siling sehingga memusnahkan kesemua peralatan perubatan, bekalan ubat, komputer, pencetak, perabot dan barangan penting lain yang kerugiannya dianggarkan antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi setiap klinik.

“MMA pada masa ini mencari kaedah untuk membantu klinik terjejas bangkit semula supaya dapat meneruskan khidmat kepada masyarakat yang turut terjejas akibat banjir.

“Diharapkan beberapa bentuk bantuan daripada kerajaan dapat diberikan dengan mengambil kira sumbangan GP dalam perkhidmatan menguruskan wabak melibatkan ujian dan penilaian COVID-19, memantau pesakit yang menjalani kuarantin di rumah dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Koh berkata bantuan daripada sektor kewangan dalam bentuk pinjaman mudah amat dihargai klinik berkenaan, begitu juga dengan sumbangan daripada sektor korporat.

Dalam pada itu, MMA memuji doktor yang terjejas dengan bencana alam itu tetap meneruskan aktiviti amal mereka kepada mangsa banjir walaupun klinik mereka musnah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan