JOHOR BAHRU, 7 Jan -- Hanya kira-kira 40 peratus Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat dianggarkan melaporkan diri di Rejimen Askar Wataniah dan kembali aktif selepas tamat pentauliahan.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata justeru itu, beliau berharap lebih ramai pegawai kadet dapat kembali aktif selepas tamat tauliah meskipun sudah memiliki kerjaya masing-masing.
Beliau berkata kekuatan mereka dapat membantu pelbagai misi seperti bantuan banjir.
“Mereka boleh pilih kerjaya masing-masing tetapi cuma kita mohon supaya mereka ini, walaupun kerja di mana sekalipun, lapor kepada Rejimen Askar Wataniah yang ada di merata Malaysia.
“Kepentingan askar sukarela ini adalah kita punya sokongan, kalau jadi apa-apa (boleh kerah). Askar wataniah ini bukan hanya bersedia menghadapi peperangan tetapi kita juga boleh kerah mereka untuk bantuan banjir, bencana alam dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Palapes Darat ke-39 Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Beliau berkata Palapes diwujudkan oleh kerajaan bertujuan melahirkan golongan belia yang berkelayakan dan mempunyai semangat patriotik.
Zamrose berkata Angkatan Tentera Malaysia turut menyasarkan keanggotaan angkatan sukarela dengan nisbah satu sukarelawan satu angkatan tetap menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
“Jadi untuk fasa pertama ini dalam RMK12 kita cuba capai (sasaran) mana yang termampu, tetapi ia akan berlarutan sehingga Army 4nextG iaitu sampai 2050,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya sentiasa menggalakkan penyertaan Palapes dan anggota tentera tetap meliputi pelbagai bangsa.
“Kita galakkan tidak kira askar tetap atau sukarela ini daripada pelbagai bangsa dan cuba ambil seberapa banyak yang boleh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial