BEIJING, 5 Jan -- China menyifatkan ratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai kejayaan penting dalam multilateralisme (perdagangan pelbagai hala) dan perdagangan bebas global, kata jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin dalam sidang media di sini, pada Selasa.
RCEP dianggotai sepuluh negara termasuk China dan mula berkuat kuasa 1 Januari, menandakan pengoperasian perdagangan bebas secara rasmi melibatkan 30 peratus populasi penduduk dunia serta blok perdagangan terbesar dan paling berpotensi di dunia.
"Selepas perjanjian tersebut dikuatkuasa, lebih 90 peratus perdagangan dalam kalangan negara anggota yang telah meratifikasi perjanjian itu dikenakan tarif sifar, melibatkan ASEAN, China, Australia dan New Zealand.
"Ia merupakan potensi besar terhadap perdagangan serantau, di samping menggalakkan liberalisasi serta kemudahan perdagangan dan pelaburan global," jelas Wang.
Beliau berkata, pemulihan dan kemakmuran ekonomi global hanya dapat diwujudkan melalui amalan multilateralisme, peningkatan tahap keterbukaan, inovasi dan perkongsian.
"Selain sentiasa berpegang kepada dasar keterbukaan wilayah, China juga komited memelihara mekanisme perdagangan pelbagai hala dan menggalakkan integrasi ekonomi serantau," tegas Wang.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial