AM

SARAWAK RANCANG PROMOSI PELANCONGAN DI ASIA BARAT

04/01/2022 04:27 PM

DUBAI, 4 Jan  -- Selepas menerima sambutan menggalakkan di Ekspo 2020 Dubai, negeri Sarawak di Malaysia merancang mengadakan program berterusan di Asia Barat tahun ini bagi mempromosikan negeri itu.

Pengarah Pemasaran, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Mary Wan Mering berkata gerai pameran STB di Pavilion Malaysia telah menerima sambutan menggalakkan termasuk permintaan supaya negeri itu disertakan dalam pakej pelancongan negeri-negeri anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berpotensi, iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman.

“Ramai menyatakan minat menyertai pengembaraan di Sarawak kerana tertarik dengan alam semulajadi hutan hujan tropika yang subur serta kaya dengan pelbagai khazanah seperti Taman Negara Mulu, yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, puncak yang mengagumkan serta kewujudan gua terbesar di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Penyertaan STB pada MINGGU 13 (Minggu Ekopelancongan) di Ekspo 2020 Dubai bermula 26 Dis 2021 hingga 1 Jan 2022 bertujuan menembusi pasaran Asia Barat, memanfaatkan populasi ekspatriat di UAE yang kebanyakannya berasal dari Eropah, Amerika Syarikat, dan negara Asia yang lain.

Ekspo 2020 Dubai berlangsung dari 1 Okt 2021 hingga 31 Mac 2022 dengan penyertaan 192 negara serta menarik 25 juta pelawat.

Ekspo berkenaan dijadualkan berlangsung pada 2020 tetapi ditangguh akibat wabak pandemik, dan penganjur bertindak mengekalkan nama "Ekspo 2020 Dubai" bagi tujuan pemasaran dan penjenamaan.

Bertemakan "Menghubungkan Minda, Mencipta Masa Depan", ekspo ini dibahagikan kepada tiga bahagian yang menarik - Mobiliti, Peluang dan Kemampanan - yang mempersembahkan kepelbagaian budaya, seni, hiburan dari pelbagai negara yang berbeza dengan pendekatan futuristik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan