AM

Melaka jalin kerjasama dengan negeri lain rangka pakej pelancongan domestik

01/01/2022 04:44 PM

ALOR GAJAH, 1 Jan -- Kerajaan Melaka menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sedang giat menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri lain untuk merangka pakej pelancongan bersesuaian bagi menarik kedatangan pelancong domestik ke negeri itu.

Pengurus Besar BPP negeri Sa'ari Basiron berkata langkah itu selaras situasi semasa penularan COVID-19 yang masih membimbangkan terutama terdapat jangkitan pelbagai varian baharu dari luar negara.

Beliau berkata kerjasama antara kerajaan negeri terlibat dilakukan menerusi kaedah pemadanan perniagaan bagi mempromosikan produk dan pakej pelancongan di negeri masing-masing.

"Seperti yang diumum sebelum ini, kita menyasarkan 5.6 juta pelancong berkunjung ke Melaka sepanjang 2022 ini dengan 70 peratus daripadanya adalah pelancong domestik.

"Kita akan mulakan kerjasama dengan Kerajaan Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh Januari hingga Mac ini dan seterusnya negeri lain yang menyumbang jumlah kedatangan pelancong domestik tertinggi," katanya kepada pemberita pada program Melaka Food Fiesta 2022 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili kerajaan negeri menerima sijil pengiktirafan 'Susunan Kuih Bakar Terpanjang’ daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) yang disampaikan Perunding Rekod Kanan MBOR Edwin Yeoh.

Sa'ari berkata pengiktirafan itu diterima menerusi inisiatif BPP menyusun 1,180 biji kuih bakar tradisional sepanjang 207.7 meter sebagai satu daripada acara pada fiesta makanan yang berlangsung sehari itu.

"Kuih bakar berkenaan kemudian dijual kepada pengunjung fiesta dan hasil jualannya akan disumbangkan kepada kerajaan Melaka untuk membantu mangsa banjir di negeri itu.

"Kuih itu dijual pada harga RM5 untuk dua biji dan bantuan kecil ini juga turut membantu pengusaha kuih bakar terlibat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan