Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 30 Dis -- Selepas impiannya bergelar atlet Olimpik menjadi kenyataan tahun ini, pemanah muda wanita negara Syaqiera Mashayikh memiliki misi serampang dua mata pada tahun 2022.
Beliau yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik di Tokyo, Julai lepas, berazam untuk membantu skuad recurve wanita negara memperbaiki kedudukan ranking dunia bagi mencerahkan peluang mereka beraksi di Olimpik Paris 2024.
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu yang turut memburu slot dalam acara recurve individu di Paris juga menyasarkan untuk memecahkan rekod panahan peribadi terbaiknya iaitu 630 mata yang dicipta pada aksi pusingan penentuan ranking di Olimpik Tokyo.
Syaqiera berkata tiada perkara lain bermain di dalam fikirannya ketika ini kecuali kedua-dua misi itu yang merupakan azam tahun baharu dalam usahanya mencipta nama serta kejayaan tersendiri.
"Saya tak dapat fikirkan azam lain, cuma memang nak layak ke Olimpik. Jadi saya dan pasukan perlu perbaiki kedudukan dalam ranking dunia kerana sekarang kami berada di ranking ke-30 dan kami nak berada di kedudukan ke-25 atau lebih baik," katanya kepada Bernama, hari ini.
"Kalau mengenai acara individu saya fokus kepada jumlah pungutan mata, saya ingin mencipta rekod yang melepasi catatan terbaik sebelum ini, mungkin melakukan 635 mata terlebih dahulu," tambah atlet berusia 21 tahun itu.
Sebagai rekod, skuad recurve lelaki dan wanita negara terlepas peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas terkandas pada kejohanan kelayakan, Jun lepas.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi Syaqiera apabila dipilih Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) selepas Malaysia mendapat satu slot bagi acara recurve individu wanita di Tokyo pada saat akhir, namun beliau tersingkir di pusingan pertama.
Penampilan di Tokyo itu menjadikan beliau pemanah wanita ketiga negara beraksi di Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).
Syaqiera pada masa sama berkata selain misi melayakkan diri ke Olimpik, beliau dan pasukan turut berhasrat membawa pulang pingat pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang dijadual berlangsung Mei tahun depan.
"Memang kami satu pasukan fokus kepada Sukan SEA, kami ingin dapatkan pingat untuk negara insya-Allah dan kami akan berjuang untuk mencapai sasaran itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap dapat terus kekal berada dalam Program Podium di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) demi kemajuan dan peningkatan prestasinya dalam sukan memanah.
Beliau berkata kontraknya tamat pada bulan ini dan sedang menanti tawaran baharu untuk tahun 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial