KUALA LUMPUR, 13 Ogos -- Langkah mengecualikan bayaran faedah terakru bagi semua pinjaman individu dan perniagaan akan memberi kesan jangka panjang yang ketara ke atas bank-bank, terutama apabila pendapatan faedah menyumbang 80 peratus kepada perolehan bank-bank, menurut Bank Negara Malaysia (BNM)
Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pinjaman individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) keseluruhan yang layak menikmati moratorium automatik secara pilihan berjumlah kira-kira RM1.4 trilion -- atau 73 peratus daripada pinjaman dalam sistem bank keseluruhannya.
Beliau berkata terdapat kesan serius sekiranya bank-bank mengecualikan faedah terakru, memandangkan peranan penting mereka dalam ekonomi.
“Pertama, bank-bank akan menarik balik pemberian pinjaman untuk memulihara penampan mereka, khususnya dengan kehilangan kredit lebih tinggi yang masih dijangka berlaku.
“Kedua, penarafan kredit yang dicatatkan bank-bank mungkin direndahkan, bagi menunjukkan kapasiti pendapatan masa depan yang lemah dan ini akan meningkatkan kos bank untuk mengumpulkan pendanaan modal seterusnya kos yang lebih tinggi ini akan dilepaskan kepada peminjam,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengenai laporan ‘Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Kedua 2021’ yang dikeluarkan hari ini.
Nor Shamsiah berkata yang ketiga, keyakinan terhadap bank-bank akan tergugat dan boleh mengakibatkan tekanan mudah tunai malah pendeposit mungkin bimbang mengenai keselamatan deposit mereka justeru, tindakan ini akan mengancam kepentingan pendeposit apabila pendapatan bank-bank terjejas teruk.
Keempat, jika pembayaran faedah terakru ini tidak dilaksanakan, bank-bank tidak akan dapat membayar dividen kepada pelabur runcit mereka dan dana institusi yang memegang simpanan awam, ini termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Tabung Haji.
“Ini akan menyebabkan pulangan lebih rendah kepada pendeposit dan simpanan persaraan. Jadi, apabila anda merumuskan semuanya, ia akan amat menjejaskan pemulihan ekonomi dan memberi kesan jangka panjang yang lebih lama ke atas ekonomi dan sistem kewangan.
“Amat penting untuk bank-bank kekal kukuh, kerana atas faktor itulah yang membolehkan mereka menyediakan bantuan pembayaran balik secara meluas, yang diperlukan peminjam pada masa ini. Buat makluman semua, bantuan pembayaran balik yang ditawarkan bank-bank Malaysia adalah yang paling meluas berbanding dengan di negara-negara lain dari segi skala dan skop,” katanya.
Terdapat kira-kira 18.4 juta pendeposit individu di negara ini dengan 15 peratus daripadanya telah melepasi usia persaraan 60 tahun dan ramai yang bergantung kepada faedah, untuk menyara sebahagiannya kehidupan.
Nor Shamsiah berkata bank pusat sedang melaksanakan peranannya dalam mengharungi tempoh yang sukar ini.
Pertama, dasar monetari akan kekal akomodatif memandangkan tadbir urus pendirian dasar monetari masa depan akan tetap berpandukan maklumat baharu, dan bank akan mengambil kira unjuran keseluruhan inflasi dan pertumbuhan domestik di samping melaksanakan dasar yang sewajarnya.
Beliau berkata kedua, berhubung bantuan pembayaran balik, BNM memberi jaminan akan terus membantu mereka yang memerlukan dan peminjam hanya perlu memilih bantuan yang diperlukan.
Antara pendekatan yang tersedia untuk membantu mereka menguruskan obligasi hutang adalah melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang boleh membantu peminjam khususnya yang mempunyai beberapa pinjaman bank untuk melanjutkan moratorium pinjaman.
PKS boleh memperoleh pinjaman konsesi untuk membolehkan mereka mengubah atau meningkatkan operasi perniagaan serta menambah baik prospek mereka.
Semasa pandemik COVID-19 mula melanda pada tahun lepas, moratorium menyeluruh selama enam bulan bermula April hingga September telah diumumkan untuk dimanfaatkan individu dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik.
Bank pusat hari ini mengumumkan ekonomi negara berkembang 16.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021 berbanding dengan penyusutan -0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutama oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang kukuh secara berterusan.
Ia berbeza dengan penyusutan KDNK pada -17.1 peratus yang dicatatkan semasa tempoh yang sama 2020 berikutan kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ketika COVID-19 melanda negara.
Menurut bank pusat, pertumbuhan yang kukuh itu mencerminkan asas rendah susulan pengurangan aktiviti secara ketara pada suku kedua 2020.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial