DUNIA

SYARIKAT MULTINASIONAL OPTIMIS PROSPEK PEMBANGUNAN PUDONG, CHINA

13/08/2021 03:42 PM

BEIJING, 13 Ogos -- Garis panduan mengenai pembangunan Kawasan Baharu Pudong, Shanghai memperkukuh keyakinan syarikat multinasional (MNC) terhadap prospek kawasan itu.

Kawasan Baharu Pudong seluas 1,200 kilometer persegi, menjadi tapak zon perdagangan bebas pertama di China pada 2013.

Garis panduan tersebut disiarkan kerajaan China bagi menyokong Pudong melaksanakan pembaharuan dan keterbukaan pada tahap lebih tinggi sekali gus merangka pelan tindakan baharu pembangunan pada masa depan.

Kini, Pudong menghimpunkan lebih 370 MNC dari seluruh dunia, termasuk syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500.

Antaranya, syarikat bioperubatan Switzerland, Roche menubuhkan ibu pejabat di Pudong pada 1994, menjadikannya syarikat farmaseutikal multinasional yang pertama memasuki Pudong.

Ketua Pusat Inovasi Shanghai Roche, Shen Hong berkata garis panduan berkenaan yang menekankan inovasi sebagai pemacu pembangunan, banyak memberi galakan dan inspirasi kepada syarikatnya.

"Kami akan terus meningkatkan peruntukan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat-ubatan.

“Kami juga mahu bekerjasama dengan perusahaan tempatan hingga menjadi teladan dalam bidang inovasi," katanya.

Garis panduan itu juga menyasarkan supaya Shanghai dimartabatkan sebagai pusat perbelanjaan antarabangsa, dengan memupuk jenama sendiri merangkumi sektor perkhidmatan, beli-belah, budaya dan pelancongan.

Taman tema Disneyland Shanghai yang dibuka pada Jun 2016, merupakan satu daripada destinasi pelancongan paling popular di Pudong.

Naib Presiden Kanan Operasi Shanghai Disney Resort, Andrew Bolstein berkata, pihaknya bersedia menyumbang kepada visi Pudong untuk menjadi pusat inovasi teknologi serta pusat perbelanjaan dan pelancongan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan