KUALA LUMPUR, 13 Ogos -- Sektor perkhidmatan, yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, berkembang 13.4 peratus pada suku kedua 2021 berbanding penyusutan 2.3 peratus pada suku pertama 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit yang terus berkembang pada kadar lebih kukuh iaitu 21.0 peratus (suku pertama 2021: 1.2 peratus) diikuti oleh pertumbuhan lebih tinggi bagi subsektor kewangan dan insurans (23.3 peratus) serta pengangkutan dan penyimpanan (37.2 peratus).
Subsektor maklumat dan komunikasi bertumbuh 5.9 peratus berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya manakala subsektor makanan dan minuman serta penginapan berkembang 9.1 peratus daripada penyusutan 29.8 peratus, katanya dalam kenyataan mengenai Prestasi Ekonomi Malaysia pada Suku Tahun Kedua 2021 pada Jumaat.
Beliau berkata bagi asas suku ke suku, keseluruhan sektor perkhidmatan menguncup 3.5 peratus (suku pertama 2021: -4.8 peratus).
Dalam pada itu, sektor pembuatan bertumbuh lebih pantas pada kadar 26.6 peratus (suku pertama 2021: 6.6 peratus) bagi suku kedua 2021, namun bagi asas suku ke suku, sektor ini merekodkan penyusutan marginal 0.1 peratus.
Mohd Uzir berkata pertumbuhan sektor pembuatan dipacu oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (28.0 peratus) serta produk elektrik, elektronik dan optikal (26.3 peratus) yang mana turut digambarkan oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport barangan yang direkodkan pada suku ini.
“Pertumbuhan lebih tinggi turut didorong oleh peningkatan yang dicatatkan peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (41.6 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (33.5 peratus),” katanya.
Beliau berkata sektor pembinaan pula berkembang 40.3 peratus pada suku kedua 2021 berbanding penyusutan 10.4 peratus pada suku pertama, dengan disokong oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas dan kejuruteraan awam yang masing-masing merekodkan pertumbuhan 58.1 peratus dan 50.0 peratus.
Selain itu, subsektor bangunan bukan kediaman (34.8 peratus) dan bangunan kediaman (16.3 peratus) turut bertambah baik pada suku ini.
Bagaimanapun, sektor pembinaan merosot 8.8 peratus pada asas suku ke suku, katanya.
Mohd Uzir berkata sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan pertumbuhan dua-digit 13.9 peratus (suku pertama 2021: -5.0 peratus) pada suku kedua 2021.
Peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan yang lebih baik dalam subsektor gas asli serta minyak mentah dan kondensat yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 21.9 peratus dan 4.9 peratus, katanya.
Sementara itu, prestasi asas suku ke suku merekodkan penyusutan 0.5 peratus.
Beliau berkata bagaimanapun sektor pertanian menyusut 1.5 peratus berbanding pertumbuhan marginal 0.2 peratus pada suku pertama 2021.
Penguncupan tersebut dipengaruhi terutama oleh penyusutan dalam subsektor kelapa sawit (-10.9 peratus) manakala subsektor pertanian lain dan ternakan masing-masing terus berkembang pada 6.0 peratus dan 6.3 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial