Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 12 Ogos -- Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) berganding bahu dengan rakan sejawatnya di Thailand mengadakan aktiviti amal untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk tempatan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menerusi aktiviti amal itu, sejumlah barangan makanan antaranya lima kilogram beras, mi segera, makanan dalam tin, susu dan minuman serta pensanitasi tangan disumbangkan kepada 1,800 penerima.
Selain MTCC, aktiviti amal yang diketuai Dewan Perniagaan Singapura-Thailand (STCC) itu juga merangkumi Dewan Perniagaan Thailand-Taiwan (TTBA), Dewan Perniagaan India-Thailand (ITCC), Dewan Perniagaan Thailand-Itali (TICC) dan Dewan Perniagaan Romania-Thailand (RTCC).
Pengerusi MTCC Dr Hwee Khim Boo berkata usaha amal itu amat diperlukan kerana ramai yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19 dan tidak mempunyai pendapatan untuk menampung keperluan harian.
"Usaha kolektif dapat memberikan impak yang lebih besar dan mampu menjangkau lebih ramai orang berbanding bergerak secara sedirian.
"Sikap kerjasama ini menunjukkan penghargaan kami kepada rakyat Thailand. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penderma dan kepada STCC atas usaha memulakan projek ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata MTCC telah mengumpulkan 300,000 baht hasil sumbanga ahli dan rakyat Malaysia yang tinggal di Thailand.
Sementara itu, Pengerusi STCC Alan Lim berkata inisiatif itu dimulakan sebagai tanda penghargaan kepaada kerajaan Thailand yang telah memasukkan warga asing di dalam senarai penerima vaksin COVID-19.
"Kerajaan berikan kami suntikan vaksin, kami pula membantu ringankan beban penduduk tempatan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19,” katanya.
Tambah beliau mereka turut akan membeli peralatan oksigen untuk hospital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial