AM

UCTS, PPD disaran bekerjasama latih guru guna Raspberry Pi

12/08/2021 06:27 PM

SIBU, 12 Ogos -- Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) dan Pejabat Pelajaran Daerah disaran supaya menjalin kerjasama bagi mengadakan latihan penggunaan komputer Raspberry Pi yang diperuntukkan kepada 1,265 sekolah rendah di Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata ini bagi memastikan supaya penggunaan komputer itu dalam pembelajaran murid bukan sahaja menjadi lebih efisien, malah menjurus kepada aktiviti-aktiviti yang kreatif dan inovatif.

Beliau berkata latihan untuk para guru sekali gus akan dapat memperkasakan lagi penguasaan murid-murid sekolah rendah di Sarawak di dalam bidang digital bagi menjamin masa depan mereka yang lebih cerah.

“Kerjasama ini adalah bertepatan kerana UCTS adalah tempat pembelajaran bidang teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT),” katanya semasa pada Majlis Penyampaian Komputer Raspberry Pi di UCTS, di sini hari ini.

Pengagihan komputer Raspberry Pi ke sekolah rendah di seluruh Sarawak dijangka selesai pada bulan Disember, dan sehingga kini lebih daripada 500 sekolah di Serian, Bau dan Kapit telah menerima komputer berkenaan.

Hari ini 93 buah sekolah rendah termasuk sekolah jenis kebangsaan di daerah Sibu menerima komputer berkenaan, manakala semalam 22 buah sekolah rendah di daerah Selangau dan 35 lagi di daerah Kanowit telah menerimanya.

“Komputer ini tidak seperti komputer yang hari-hari kita gunakan, sebaliknya berfungsi sebagai rangkaian intranet dan memastikan pembelajaran masih boleh berlangsung walaupun tidak ada sambungan internet.

“Murid boleh menyambungkan tablet mereka kepada pelayan komputer dalam radius 10 meter untuk mengakses bahan pembelajaran yang sedia dimuat naik atau bahan yang dimuat naik oleh guru-guru mereka,” katanya.

Pengagihan komputer itu adalah inisiatif digital kerajaan Sarawak bagi mendedahkan murid-murid khasnya di kawasan luar bandar kepada dunia digital agar tidak ketinggalan di dalam kemajuan bidang tersebut.

Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menambah, usaha itu juga adalah untuk merapatkan lagi jurang pendidikan di antara kawasan bandar dan luar bandar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan