EKONOMI

IPP MALAYSIA NAIK 1.4 PERATUS PADA JUN 2021

09/08/2021 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2021, disokong oleh pengembangan 10.3 peratus dalam indeks perlombongan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sebaliknya, indeks pembuatan dan elektrik, masing-masing merosot 0.2 peratus dan 4.8 peratus. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata pertumbuhan output sektor perlombongan disebabkan oleh peningkatan dalam indeks gas asli (13.4 peratus) serta indeks minyak mentah dan kondensat (6.3 peratus). 

Sementara itu, output sektor elektrik merosot 4.8 peratus tahun ke tahun pada Jun 2021. 

Mohd Uzir berkata output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun menurun 0.2 peratus pada Jun 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 29.8 peratus pada Mei 2021.

Subsektor yang menjadi penyumbang utama kepada sektor pembuatan pada Jun 2021 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (19.0 peratus), produk peralatan elektrik dan elektronik (8.4 peratus) serta produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (-14.5 peratus).

Industri berorientasikan eksport memacu kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 8.7 peratus manakala industri berorientasikan domestik menyusut 20.8 peratus, katanya.

IPP pada suku kedua 2021 melonjak 22.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 26.3 peratus, 15.1 peratus dan 8.6 peratus.

Pada separuh pertama 2021, IPP merekodkan peningkatan sebanyak 12.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh kenaikan dalam kesemua komponen; indeks pembuatan (15.7 peratus), indeks perlombongan (4.5 peratus) dan indeks elektrik (4.0 peratus). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan