AM

Lebih 3 juta warga emas terima suntikan vaksin - Rina Harun

06/08/2021 01:54 PM

SEREMBAN, 6 Ogos  -- Lebih tiga juta warga emas di seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat 1 Ogos, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 2,249,249 telah lengkap dua dos suntikan vaksin manakala selebihnya menerima suntikan pertama.

“Secara keseluruhan 95 peratus daripada 3.15 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas telah mendapat suntikan vaksin,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 76 peratus daripada 454,639 golongan Orang Kurang Upaya (OKU), yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera, telah menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos bagi tempoh yang sama.

Daripada jumlah itu, 149,188 OKU telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Katanya usaha mempercepatkan suntikan vaksin bagi dua golongan itu adalah hasil kerjasama LPPKN menerusi operasi PPV bergerak di setiap negeri yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 penerima vaksin.

Beliau menambah menerusi Program Outreach Vaksinasi COVID-19, kementeriannya turut membantu memberi suntikan vaksin kepada warga emas atau golongan OKU di rumah terutamanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan