AM

OBUA di Lundu tingkatkan kemahiran pertempuran di kawasan bandar

03/07/2021 02:54 PM

KUCHING, 3 Julai  -- Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sarawak mendapat suntikan baharu apabila Kompleks Latihan Tempur Dalam Kawasan Terbina (OBUA) di Lapang Sasar Sampadi, Lundu, bakal menjadi medan latihan terbaharu pasukan itu dalam mempertingkatkan kemahiran pertempuran di kawasan bandar.

Kompleks latihan itu dirasmikan hari ini oleh Panglima TDM Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan pembinaan kompleks latihan itu merupakan cetusan ilham beliau sendiri ketika menjawat jawatan sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat sekitar 2018 hingga 2020.

Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen Infantri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembinaan kompleks itu dilaksanakan oleh pasukan Skuadron Ketiga Rejimen Askar Jurutera Diraja yang mengambil masa selama 150 hari dan telah siap sepenuhnya pada 30 Oktober tahun lepas.

Kompleks latihan itu yang diberi nama Zamzov, diambil sempena nama PTD (Zamrose Mohd Zain OBUA Village) merupakan infrastruktur pertama seumpamanya yang dibina di Sarawak.

“Pembinaan infrastruktur latihan sebegini adalah sejajar dengan tonggak pertama perintah ulung PTD Ke-28 iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan yang menitikberatkan usaha mempertingkatkan keupayaan dan kesiagaan TDM dalam melaksanakan sebarang misi dan operasi,” menurutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan