EKONOMI

MIDF Amanah Investment Bank kekal unjuran KDNK pada 4.6 peratus

01/07/2021 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd telah mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.6 peratus tahun ini memandangkan pelanjutan sekatan yang dijangka akan menjejaskan segmen perniagaan tertentu berikutan penutupan sementara dan pergerakan pengguna yang terhad.

Bank itu dalam satu makluman hari ini berkata sekatan mungkin akan bersifat seretan sementara kepada ekonomi, terutamanya pada pertengahan tahun ini dan pelonggarannya akan membolehkan pembukaan semula ekonomi pada akhir tahun ini.

"Bagaimanapun, ini akan bergantung kepada petunjuk utama yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutamanya bilangan jangkitan baharu COVID-19, kadar penggunaan ICU termasuk vaksinasi orang awam. 

"Dalam erti kata lain, keputusan untuk bergerak ke fasa PPN seterusnya bergantung kepada keadaan kesihatan awam dan kemajuan dalam program vaksinasi negara," katanya.

Bank pelaburan itu berkata sehingga ke tahap tertentu, kelihatan wujud pengalaman dua pertumbuhan dalam ekonomi memandangkan sektor perdagangan akan terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran yang semakin meningkat tetapi kelemahan dalam perbelanjaan tempatan akan menjejaskan industri berorientasikan domestik serta subsektor perkhidmatan terpilih seperti perdagangan borong dan runcit, penginapan dan juga industri perkhidmatan pengangkutan. 

Pada nota yang lebih positif, pakej rangsangan fiskal Pakej Kesejahteraan dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEMULIH) bernilai RM150 bilion akan memberikan sokongan kepada rakyat serta komuniti perniagaan yang sedang berhempas-pulas disebabkan sekatan penuh di seluruh negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segmen tertentu dalam ekonomi yang menghadapi kesukaran untuk bertahan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai masalah aliran tunai selain daripada individu yang kehilangan punca pendapatan. 

"Peningkatan perbelanjaan kerajaan dengan sokongan dasar tambahan dan adanya, kemungkinan ledakan permintaan apabila ekonomi dibuka semula menjelang akhir tahun ini akan menjadi tambahan risiko kepada prospek pertumbuhan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan