AM

KTMB tawar gerakkan aset bantu mempercepatkan Pelan Pemulihan Negara

16/06/2021 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedia membantu kerajaan dalam mempercepat fasa keempat Pelan Pemulihan Negara dengan menggerakkan aset sedia ada seperti stesen dan tren, yang boleh dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di kawasan luar bandar terutama di pantai timur.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin berkata jaringan laluan kereta api sepanjang 1,641 kilometer meliputi utara, selatan dan pantai timur semenanjung dengan 104 stesen dan 73 perhentian, memberi kelebihan dari segi kadar ketersampaian kepada golongan sasaran. 

“Seramai 2,104 kakitangan barisan hadapan KTMB yang berpengalaman juga boleh digerakkan sebagai sukarelawan bagi membantu usaha ini.

“KTMB yakin sinergi semua pihak ialah kunci kejayaan Pelan Pemulihan Negara terutama dalam mencapai fasa keempat iaitu dapat menjalani kehidupan harian biasa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata Pelan Pemulihan Negara adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Menerusi fasa keempat rakyat mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian apabila kerajaan membenarkan aktiviti sosial, perjalanan rentas negeri, pelancongan domestik dan semua sektor ekonomi dibuka semula.

Mohd Rani berkata KTMB turut sedia bekerjasama dengan badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selain konsisten membantu membuat hebahan bagi menggalakkan orang ramai mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan