AM

BERITA-BERITA RINGKAS VAKSIN COVID-19 DI NEGERI-NEGERI

16/06/2021 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Berikut ialah berita-berita ringkas mengenai pemberian vaksin COVID-19 di negeri-negeri hari ini:

 

Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai, Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Krai di Kelantan mengambil inisiatif membawa bekalan vaksin menggunakan feri untuk diberikan kepada penduduk di lima kampung dalam Mukim Pasir Kelang, Kuala Krai. 

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berkata kampung terlibat ialah Pasir Kelang Baru, Pasir Kelang Lama, Buyung, Taku dan Ladang Taku yang kebanyakan penduduk bekerja sebagai penoreh getah, buruh ladang dan tukang rumah serta mempunyai kekangan kewangan untuk keluar mendapatkan vaksin.

Abdul Latiff berkata jumlah keseluruhan penduduk di Parlimen Kuala Krai adalah seramai 130,000 orang dan 87,600 layak menerima vaksin.

 

****************************************************************************************************************

 

Seramai 4,000 kakitangan Petronas akan menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 menerusi pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) industri yang pertama di negara ini di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd Kamal Bahrin Ahmad berkata PPV itu yang mula beroperasi hari ini boleh menampung kapasiti 1,000 orang dengan penjarakan fizikal, merupakan projek rintis bagi sektor minyak dan gas negara.

“Hari ini seramai 467 kakitangan Petronas akan menerima suntikan vaksin yang diberikan oleh kira-kira 40 petugas daripada sumber luar yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan dan PPV itu akan dibuka selama 10 hari hingga 26 Jun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

***********************************************************************************************************

 

Pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu pertama di Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam akan mula beroperasi dalam tempoh tiga minggu lagi.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata sebelum ini, lokasi bagi PPV pandu lalu itu ditetapkan berhampiran PPV Dewan Tun Ali namun ditukar disebabkan keadaan yang tidak sesuai dan sesak.

"PPV pandu lalu di LTAM memberikan suntikan vaksin dos kedua kepada kira-kira 800 penerima setiap hari seterusnya menjimatkan masa sekali gus mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan