EKONOMI

PETRONAS PELAWA SYARIKAT PEMULA NIAGA TEMPATAN SERTAI FUTURETECH 2.0

15/06/2021 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mempelawa syarikat pemula niaga Malaysia untuk menyertai program pemecut teknologi, Petronas FutureTech 2.0.

Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Petronas, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjelaskan program itu bertujuan menggalakkan inovasi dan mempertingkatkan pemula niaga teknologi tempatan untuk berada pada kedudukan setara dengan standard antarabangsa.

Pemula niaga ini berpeluang mempercepat penyelesaian perniagaan mereka menerusi bukti konsep serta memperoleh akses kepada pandangan jauh dan sumber syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tema tumpuan bagi edisi kedua ini ialah Industri 4.0, kimia khusus dan bahan maju, masa depan tenaga, transformasi digital dan inovasi runcit.

Permohonan bagi FutureTech 2.0 kini dibuka sehingga 27 Julai, 2021.

Pemula niaga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dan memohon menerusi https://ecosystems.500.co/petronas-future-tech.

Pemula niaga yang berada dalam senarai pemilihan akhir FutureTech 2.0 akan menjalani program intensif 12 minggu secara maya pada September ini, termasuk kelas utama, bengkel dan bimbingan daripada mentor 500 Startups serta barisan eksekutif tertinggi dan pakar-pakar daripada Petronas, TM dan SDP.

Menurut ketiga-tiga syarikat itu, kerjasama dengan syarikat modal teroka global, 500 Startups, diteruskan lagi bagi program ini dan dijangka membawa prospek lebih luas bagi pemula niaga yang menyertainya.

Ini memandangkan Petronas menerusi cabang modal teroka korporatnya, Petronas Ventures, telah bekerjasama dengan GLC, TM dan SDP, jelasnya.

Kerjasama tersebut dijangka memanfaatkan sinergi daripada kepakaran rentas industri dan memaksimumkan impak nilai program berkenaan ke atas syarikat pemula niaga tempatan, jelasnya.

Ia akan membolehkan GLC menemui teknologi pencetus perubahan berpotensi, mempercepat idea baharu yang boleh membantu mentransformasikan industri tempatan di samping membolehkan pasukan yang mengambil bahagian memperoleh akses pasaran lebih lebih untuk pertumbuhan, menurutnya.

Ketua Petronas Ventures, Arni Laily Anwarrudin berkata susulan kejayaan FutureTech pertama pada 2019 sebagai program pemecut pertama seumpamanya di Malaysia, pihaknya menjangkakan prospek lebih besar ke arah pembangunan negara.

Beliau berkata kerjasama dengan syarikat utama merupakan pendekatan yang tepat untuk memupuk lagi ekosistem bagi pemula niaga Malaysia.

“Ia juga mewujudkan kesan sosio-ekonomi positif kepada komuniti menerusi pelaburan kemahiran dan pendidikan serta mengalakkan inovasi dipacu teknologi yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata kerjasama erat juga diwujudkan dengan Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, yang bertujuan mempercepat penciptaan dan penerimaan inovasi tempatan melalui kerangka berstruktur dalam lingkungan persekitaran terkawal dan ke arah pengkomersialan.

Ketua Pegawai Strategi TM, Tengku Muneer Tengku Muzani pula berkata sejajar dengan matlamat TM ke arah Digital Malaysia, pihaknya berharap dapat meneroka kepentingan bersama dengan rakan kongsi korporat dan pemula niaga FutureTech 2.0 dalam mempercepat inovasi digital menerusi langkah memanfaatkan kelebihan antara satu sama lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Inovasi SDP, Dr Shariman Alwani berkata pihaknya berharap dapat mengenal pasti syarikat pemula niaga inovatif yang memiliki kemampuan teknologi dan penyelesaian sebagai pencetus perubahan untuk membantu SDP mengatasi pelbagai cabaran dan masalah.

“Kami mungkin memiliki banyak pengalaman dan pengetahuan asas dalam industri sawit, namun idea inovatif baharu boleh dicetuskan oleh sesiapa sahaja.

“Justeru, SDP gembira dapat menjadi sebahagian FutureTech 2.0. Ini menjadi peluang berharga untuk memberikan sumbangan kepada pemula niaga kita dan membantu mereka memanfaatkan potensi menerusi kerjasama dengan Petronas dan TM,” katanya.

Petronas Ventures telah membiayai dua pemula niaga daripada kohort pertama iaitu pemula niaga robotik dan automasi untuk teknologi pertanian, Braintree Technologies Sdn Bhd serta pemula niaga teknologi mampan, SOLS Energy Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan