AM

PPV UMK sediakan kerusi roda, laluan serta bilik khas kepada OKU

14/06/2021 01:30 PM

BACHOK, 14 Jun  -- Pelbagai kemudahan seperti kerusi roda, laluan khas dan bilik khas disediakan kepada orang kurang upaya (OKU) di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, untuk keselesaan golongan itu ketika mengambil vaksin.

Ketua Penyelaras PPV Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Nurul Husna Abu Bakar berkata, sebaik OKU tiba di pusat tersebut, petugas sukarela terdiri daripada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penuntut UMK, akan membantu mereka menggunakan kerusi roda dan ditempatkan di laluan khas.

“Selepas pendaftaran dijalankan oleh pengiring atau petugas sukarela, mereka (OKU) menunggu di bilik khas yang berhawa dingin, selesa dan lebih cepat, sebagai langkah inisiatif tambahan kepada kepada golongan ini.

“Kami juga memastikan kemudahan kerusi roda yang digunakan secara bergilir-gilir mencukupi, dan perjalanan semasa mengambil vaksin lebih cepat berbanding penerima normal, yang perlu melalui empat kaunter,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPV UMK di sini hari ini.

Dr Nurul Husna berkata, sejak PPV tersebut dibuka pada 27 Mei lalu, hampir 15,000 penerima sudah mengambil suntikan vaksin termasuk warga emas, golongan OKU dan dewasa.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Unit  Laluan Rapid PPV UMK Dr Nazmi Shakri berkata, setiap hari bilangan penerima vaksin dalam kalangan OKU serta warga emas bertongkat di pusat tersebut sekitar 40 hingga 60 orang, dan kebanyakan mereka mendaftar melalui MySejahtera.

“Kita merancang untuk mengadakan Program ‘Outreach’ OKU melibatkan 89 OKU dari tiga program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Daerah Bachok. Program dirancang dilaksanakan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bachok,” katanya.

Sementara itu, penerima suntikan vaksin OKU Drawi @ Md Arif Abdul Latif, 75, dari Kampung Kok Lintang Gunong berkata, kemudahan laluan khas tersebut melancarkan perjalanan pengambilan vaksin dan proses mengambil cuma mengambil masa antara 20 minit hingga 30 minit.

“Doktor juga memberikan taklimat ringkas kepada kami mengenai keperluan pengambilan suntikan vaksin, gejala dan apa perlu dilakukan sekiranya ada selepas pengambilan dos suntikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan